Sejarah PALAPES

Pasukan Latihan Pegawai Simpanan atau juga dikenali dengan singkatan PALAPES yang dulunya dikenali sebagai ROTU (Reserve Officer Training Unit) adalah satu program kerjasama di antara Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (kini Kementerian Pengajian Tinggi) untuk mahasiswa-mahasiswi di Institutsi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).


Selain untuk melahirkan pegawai simpanan bagi memenuhi keperluan Angkatan Tentera Malaysia, program PALAPES juga menyokong usaha kerajaan dan IPTA untuk membentuk kualiti seorang warganegara yang sempurna, berdisiplin dan mempunyai ciri-ciri mempertahankan kepentingan negara. Seorang pegawai kadet akan dilatih dalam tempoh 3 tahun secara sambilan; di mana latihan biasa yang meliputi subjek-subjek berkaitan ketenteraan akan diadakan pada setiap hujung minggu. Selain daripada itu, latihan lanjutan dan latihan intensif juga akan diadakan setahun sekali secara sepenuh masa selama 3 minggu. Program PALAPES kini merangkumi setiap cabang perkhidmatan dalam ATM iaitu PALAPES Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara. Setiap pasukan PALAPES mempunyai Markas Latihan cawangan masing-masing. Pada masa kini, PALAPES telah ditubuhkan di 12 buah IPTA.
 Sejarah awal PALAPES bermula dengan penubuhan penubuhan Batalion Pertama Infantri Askar Wataniah Cawangan Universiti Malaya pada 3 April 1965. Di awal penubuhannya, seramai 30 orang pelajar dari pelbagai fakulti telah menjalani kursus Asas Rekrut di Kem Latihan Seputih, Batu Gajah, Perak, sewaktu cuti semester. Peristiwa 13 Mei menyaksikan kompeni ini dikembangkan ke IPTA lain dengan penubuhan Kompeni A di ITM, Kompeni B di UPM dan Kompeni C di UKM dengan UM menjadi markas Batalionnya. Berikutan sambutan yang menggalakan daripada para mahasiswa, Pengarah Askar Wataniah Brigadier Jeneral Dato’ Abdul As Ismail telah mengambil inisiatif berbincang dengan naib-naib Canselor Universiti dan pengarah ITM pada masa itu ketika itu untuk menubuhkan Reserve Officer Training Unit (ROTU). Pada 18 Disember 1978, Jawatankuasa Turus Angkatan Tentera telah meluluskan penubuhan ROTU dengan objektif utamanya untuk melahirkan pegawai-pegawai tentera sukarela daripada kalangan pensyarah, kakitangan dan mahasiswa di IPTA. Pada 26 Februari 1979, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Turus Tentera darat dan dihadiri oleh naib-naib Canselor Universiti dan Pengarah ITM telah diadakan untuk menubuhkan ROTU di IPTA masing-masing.

Markas PALAPES UKM Bangi
43600 Bangi, Selangor, Malaysia
Tel:  +603-89213048/5010  Fax:  +603-89250353