Pasukan Latihan Pegawai Simpanan

 

  Pasukan Latihan Pegawai Simpanan atau juga dikenali dengan singkatan PALAPES yang dulunya dikenali sebagai ROTU (Reserve Officer Training Unit) adalah satu program kerjasama di antara Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (kini Kementerian Pengajian Tinggi) untuk mahasiswa-mahasiswi di Institutsi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

 

          Selain untuk melahirkan pegawai simpanan bagi memenuhi keperluan Angkatan Tentera Malaysia, program PALAPES juga menyokong usaha kerajaan dan IPTA untuk membentuk kualiti seorang warganegara yang sempurna, berdisiplin dan mempunyai ciri-ciri mempertahankan kepentingan negara. Seorang pegawai kadet akan dilatih dalam tempoh 3 tahun secara sambilan; di mana latihan biasa yang meliputi subjek-subjek berkaitan ketenteraan akan diadakan pada setiap hujung minggu. Selain daripada itu, latihan lanjutan dan latihan intensif juga akan diadakan setahun sekali secara sepenuh masa selama 3 minggu. Program PALAPES kini merangkumi setiap cabang perkhidmatan dalam ATM iaitu PALAPES Tentera Darat, Tentera Udara dan Tentera Laut. Setiap pasukan PALAPES mempunyai Markas Latihan cawangan masing-masing. Pada masa kini, PALAPES telah ditubuhkan di 12 buah IPTA.

 

 

 

Sejarah

 

          Sejarah awal PALAPES bermula dengan penubuhan penubuhan Batalion Pertama Infantri Askar Wataniah Cawangan Universiti Malaya pada 3 April 1965. Di awal penubuhannya, seramai 30 orang pelajar dari pelbagai fakulti telah menjalani kursus Asas Rekrut di Kem Latihan Seputih, Batu Gajah, Perak, sewaktu cuti semester. Peristiwa 13 Mei menyaksikan kompeni ini dikembangkan ke IPTA lain dengan penubuhan Kompeni A di ITM, Kompeni B di UPM dan Kompeni C di UKM dengan UM menjadi markas Batalionnya. Berikutan sambutan yang menggalakkan daripada para mahasiswa, Pengarah Askar Wataniah Brigadier Jeneral Dato’ Abul As Ismail telah mengambil inisiatif berbincang dengan naib-naib Canselor Universiti dan pengarah ITM pada masa itu ketika itu untuk menubuhkan Reserve Officer Training Unit (ROTU). Pada 18 Disember 1978, Jawatankuasa Turus Angkatan Tentera telah meluluskan penubuhan ROTU dengan objektif utamanya untuk melahirkan pegawai-pegawai tentera sukarela daripada kalangan pensyarah, kakitangan dan mahasiswa di IPTA. Pada 26 Februari 1979, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Turus Tentera darat dan dihadiri oleh naib-naib Canselor Universiti dan Pengarah ITM telah diadakan untuk menubuhkan ROTU di IPTA masing-masing.

 

 

 

 

 

Penubuhan PALAPES di IPTA

 

Data bersumberkan buku Askar Wataniah: Warga Pembela Nusa.

 

No.

Universiti

Penubuhan rasmi

Nota

1

Universiti Kebangsaan Malaysia

1 Jul 1979

PALAPES pertama ditubuhan di IPTA

2

Universiti Malaya

7 Feb 1980

 

3

Universiti Pertanian Malaysia

8 Feb 1980

 

4

Universiti Sains Malaysia

7 Jun 1980

 

5

Universiti Utara Malaysia

1 Mei 1984

 

6

Institut Teknologi Mara

8 Feb 1979

 

8

Universiti Teknologi Malaysia

11 April 1991

 

9

Universiti Malaysia Sarawak

1 Jul 1997

 

10

Universiti Malaysia Sabah

   

11

Universiti Tun Hussein Onn

   

12

Universiti Pendidikan Sultan Idris

   

13

Universiti Malaysia Perlis

3 Mac 2005

 

14

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia 

   

 

 

SEJARAH RINGKAS PALAPES UKM

 

Sejarah Awal.

 

Sejarah penubuhan PALAPES bermula seawal tertubuhnya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada bulan Mei 1970. Penubuhan UKM merupakan suatu yang ditunggu – tunggu Malaysia amnya dan bangsa Melayu khasnya. Semenjak penubuhannya, aktiviti – aktiviti UKM sering dikaitkan dengan aspirasi rakyat yang memerlukan mahasiswa yang bukan sahaja bertanggungjawab dalam soal pembelajaran akademik tetapi juga bertanggungjawab di dalam aktiviti kemasyarakatan serta mempunyai perasaan cintakan negara dan bersedia memberikan komitmen terhadap pertahanan negara. Menyedari tanggungjawab mereka terhadap menyumbangkan tenaga terhadap pertahanan negara, sejumlah pelajar dari kolej pertama UKM telah melahirkan hasrat untuk menubuhkan askar wataniah di UKM. Pada tahun 1975, dengan diketuai oleh ‘Resident Fellow’ kolej pertama UKM, satu rombongan pelajar telah menemui Pengarah Askar Wataniah, Kol Muthi Jabar (Allahyarham) untuk menubuhkan Batalion Infantri (AW) UKM. Malangnya kerajaan pada masa itu masih belum mempunyai peruntukan menubuhkan Batalion Infantri (AW) di UKM sepertimana yang telah diperuntukkan untuk penubuhan Bn Inf (AW) Universiti Malaya (UM) dan Bn Inf (AW) Institut Teknologi MARA (ITM). Resident Fellow dan beberapa orang pelajar kolej pertama UKM kemudiannya telah bertemu dengan Naib Canselor UKM ( Dr Anuwar Mahmud) dan memohon supaya hasrat mereka untuk menubuhkan Batalion Infantri di UKM dipanjangkan ke pengetahuan YAB Tun Abdul Razak, yang merupakan Canselor UKM ketika itu.

 

Dengan sokongan YAB Tun Abdul Razak, Pengarah Askar Wataniah telah dengan segera menubuhkan satu Platun Askar Wataniah di UKM pada bulan Julai 1975. Mahasiswa UKM mula mendaftar sebagai rekrut Askar Wataniah pada tahun yang sama dan tertubuhlah satu platun AW di UKM. Dalam tahun berikutnya, kekuatan itu telah bertambah menjadi beberapa platun. Pada tahun 1979, UKM mempunyai Kompeni Askar Wataniah yang maju dan mempunyai bilangan mahasiswa yang paling ramai terlibat. Berdasarkan prestasi tersebut, UKM telah diberi penghormatan menubuhkan Reserve Officers Training Unit (ROTU) pada 1 Julai 1979. UKM telah menjadi pusat pengajian tinggi yang pertama menubuhkan ROTU atau Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) secara rasmi pada 8 Februari 1980 di Malaysia. Mejar Abdul Rahman Salim (RRD) dari Batalion Infantri ITM menjadi Ketua Jurulatih yang pertama bagi ROTU UKM, Kapten Zamari Saidin adalah ajutan pertama, manakala PW I Joned Nasir adalah Sarjan Mejar Rejimen yang pertama. Lain – lain staf dan jurulatih yang awal ialah 69110 PW II Halim Baharuddin (KSMJ), 23906 Sjn Hambali Tanzi (RAMD) dan 928115 Sjn Ahmad Latif (RRD). Manakala Lt Fawzi Basri adalah pegawai sukarela yang pertama di PALAPES UKM ini.

 

Markas PALAPES UKM Bangi
43600 Bangi, Selangor, Malaysia
Tel:  +603-89213048/5010  Fax:  +603-89250353